Saturday, 20 June 2009

Bagaimana Menambahkan Cinta Kepada Rasul ALLAH S.A.W

(Post Percubaan, bukan penulis blog ni punya)

Perasaan cinta dan kasih kepada Rasul ALLAH s.a.w. boleh disemai dengan melakukan beberapa perkara dibawah:

1) Mengenali Dan Mengingati Peribadi Rasul ALLAH S.A.W.

Dari sudut ini, maka benarlah pepatah Melayu yang menyebut bahawa “Tak kenal maka tak cinta”. Seseorang Muslim yang ingin menambahkan kecintaannya kepada Rasul ALLAH s.a.w. mestilah mengenali peribadi Baginda secara lebih mendalam. Semakin dalam kita mengenali Rasul ALLAH s.a.w. dari segi akhlaknya, cara hidupnya, cabaran yang dihadapinya, perjuangannya dan segala-galanya yang berkaitan dengan Baginda, maka semakin bertambahlah cinta dan kasih kita kepada Rasul ALLAH s.a.w. Untuk tujuan ini, bacaan dan kajian terhadap sirah hidup Baginda perlu dilakukan melalui sumber-sumber bacaan sirah yang sahih.

2) Berdiri Di Atas Petunjuk Nabi S.A.W. Dan Mengamalkan Sunnah-Sunnah Baginda s.a.w.

Setiap Muslim mestilah menjadikan petunjuk yang dibawa oleh Nabi s.a.w. sebagai panduan dalam hidupnya. Dalam setiap apa jua perkara dalam urusan agama, maka panduan dan petunjuk yang dibawa oleh Nabi s.a.w. mestilah diletakkan di hadapan. Seterusnya, senantiasa berusaha untuk mengikuti sunnah Baginda s.a.w. dalam segala tingkah laku dan perkataan. Jika tidak dapat diamalkan semua, maka janganlah ditinggalkan semuanya.

3) Mengetahui Nikmat ALLAH Yang Dikurniakan Kepada Kita Melalui Pengutusan Rasul ALLAH S.A.W.

Antara pengurnian nikmat ALLAH yang terbesar ialah pengutusan Rasul ALLAH s.a.w. itu sendiri kepada umat ini. Rasul ALLAH s.a.w. yang diutuskan ini diberikan panduan wahyu kepadanya. Maka dengan pengutusan Rasul yang dibekalkan dengan wahyu, umat Islam dapat menerima hidayah Islam yang sebenar, seterusnya dengan hidayah ini kita dapat mebezakan antara yang haq dan batil dan sekaligus dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat; jika petunjuk ini ditaati.

Firman ALLAH swt bermaksud: “Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad s.a.w.) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum) yang telah kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari ALLAH, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu ALLAH menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (al-Maidah: 15-16)

4) Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Rasul ALLAH S.A.W.

Selawat merupakan antara amalan yang paling berkesan yang dapat mengikat hati individu Muslim dengan Rasul ALLAH s.a.w. Firman ALLAH swt bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman selawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (al-Ahzab: 56)

Penganjuran berselawat ini juga disuruh dan digalakkan melalui hadith-hadith Rasul ALLAH s.a.w., antaranya: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang berselawat ke atas ku satu selawat, maka ALLAH swt akan berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Riwayat Muslim, Kitab al-solat, Bab: al-salat ‘ala al-Nabiy ba’da al-tasyahud)

No comments:

Related Posts with Thumbnails